Monday, October 5, 2009

MENINGKATKAN MINAT MEMBACA

Ahli falsafah Barat ada menyebut “knowledge is power” yang bermaksud “pengetahuan itu kuasa”. Dengan adanya ilmu pegetahuan, manusia dapat meningkat taraf kehidupan dengan lebih sempurna. Satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan adalah melalui pembacaan. “Membaca Jambatan Ilmu”merupakan ungkapan yang amat sesuai untuk merungkaikan persoalan menanam minat membaca di kalangan pelajar kita pada hari ini. Kajian menunjukkan bahawa purata rakyat Malaysia membaca hanya sehelai muka surat setahun. Bagi seluruh rakyat Malaysia pun membaca sehelai muka surat dalam setahun bagaimana pula golongan remaja. Bagi golongan pelajar pula, mereka hanya membaca sekadar untuk menhadapi peperiksaan sahaja. Kian hari kian merosotnya minat membaca dalam kalangan remaja hari ini, perkara ini perlu ditangani dengan segera dan secara bijaksana.

Antara langkah-langkah yang perlu diambil ialah ibubapa dan guru perlu menjadi suri teladan. Sebelum guru, ibubapa yang bertanggungjawab untuk memberi galakkan membaca sejak awal lagi,iaitu waktu zaman kanak-kanak lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Dalam hal ini, ibubapa yang memainkan peranan paling utama menjadi nadi penggerak untuk memupuk minat membaca dalam diri anak-anak mereka. Selain itu, ibubapa perlu membeli buku untuk anak-anak menjadikan buku sebagai hadiah sempena dengan sambutan hari-hari istimewa. Penyediaan perpustakaan mini di rumah merupakan langkah yang bijak kearah mencapai matlamat ini. Ibubapa hendaklah menyediakan suatu sudut di rumah untuk membaca. Bukan itu sahaja, ibubapa hendaklah menjadi contoh bagi anak-anak.

Selain ibubapa, kerajaan juga memainkan peranan penting untuk melahirkan insan yang berilmu. Kerajaan hendaklah memperbanyak perpuatakaan di desa, supaya remaja di desa dapat meminjam buku secara berkala dan dengan memperbanyak perpustakaan dapat membantu remaja yang tidak bermampu untuk membeli buku atau membantu remaja daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Di samping itu, pihak kerajaan dan swasta hendaklah berganding bahu menjalankan kempen mengenai kesedaran akan membaca dalam kalangan remaja , dan menghebahkan kepentingan serta manfaat amalan membaca kepada seluruh negara.

Selain daripada itu, penerbit buku dan agensi kerajaan perlulah mengadakan pesta buku secara besar-besaran di seluruh negara. Penganjuran pesta buku hendaklah diadakan pada setiap tahun. Dalam pesta buku berkenaan, pelbagai jenis buku perlu dipamerkan yang meliputi bahan bacaan semua peringkat umur dengan harga yang berpatutan. Penganjuran seperti ini,tidak seharusnya diadakan di Kuala Lumpur sahaja, tetapi turut meliputi seluruh negeri di Malaysia , termasuk juga daerah-daerah yang terpencil. Penganjuran seperti ini secara tidak langsung dapat mewujudkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Pertandingan mengarang yang membabitkan para pelajar juga patut diadakan sama ada di peringkat sekolah, daerah atau negeri. Pada masa ini, banyak pertandingan mengarang telah diadakan di setiap kementerian untuk memberi ruang kepada mereka mencetuskan minda melalui pembacaan. Selain itu, pertandingan lain yang difikirkan dapat memberi peluang kepada pelajar berfikir adalah melalui menulis ulasan buku. Kegiatan-kegiatan ini bukan sahaja menambahkan pengetahuan pelajar terhadap sesuatu bidang ilmu yang dibaca, bahkan aktivati-aktiviti seumpama ini membangkitkan keseronokan membaca di kalangan remaja.

Kesimpulaanya ,para pelajar sekarang merupakan pewaris generasi akan datang. Merekalah yang bakal menentukan hala tuju negara. Untuk mencapai matlamat negara maju, para pelajar ini mestilah menguasai pelbagai bidang ilmu sebagai persediaan untuk mencapai matlamat ini. Aktiviti membaca merupakan salah satu cara yang terbaik dapat menyumbang kepada pengisian ilmu pengetahuan. Jadi , usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilaksanakan untuk menggalakan rakyat negara ini membaca untuk melahirkan orang yang berilmu.

No comments:

Post a Comment