Monday, October 5, 2009

ISU KESIHATAN

Badan yang sihat amat penting untuk menjalani kehidupan harian serta untuk mempunyai otak yang cerdas. Kesihatan yang baik melahirkan fikiran yang bernas dan tindakan yang berkesan.

Menjaga kesihatan badan menjadi hak setiap manusia dan tidak boleh dipandang remeh. Konsep kesihatan ialah melakukan pencegahan terhadap sesuatu penyakit daripada mengubatinya. Apabila seseorang itu ditimpa penyakit barulah hendak mengambil ubat hendaklah dielakkan.

Menurut pakar kesihatan, ilmu kesihatan terbahagi kepada dua peringkat, iaitu peringkat pengetahuan dan peringkat amalan. Peringkat pengetahuan bermaksud mendapatkan ilmu asas kesihatan dan cara menjalaninya. Peringkat amalan pula adalah dengan mengamalkan ilmu yang diperoleh. Untuk menjaga kesihatan, kita perlulah menitikberatkan kebersihkan diri, alam sekitar, dan makanan.

Pelbagai cara ditekankan untuk menjaga kesihatan, terutamanya dalam hal menjaga tabiat pemakanan.Antaranya dengan memastikan kandungan garam,gula, dan protein sentiasa normal dan seimbang. Jika berlaku perubahan pada badan haruslah menerima rawatan. Oleh itu, kita hendaklah membuat senaman ringan seperti berjoging, bersenam, dan sebagainya bagi mengurangkan kandungan lemak dan kalori dalam badan.

Pada zaman ini, manusia diserang pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, AIDS, darah tinggi,barah, kencing manis, dan sebagainya. Menurut laporan Kementerian Kesihatan, rakyat negara ini kurang mengambil berat tentang kesihatan. Mereka tidak mementingkan kawalan penyakit, kesihatan ibu dan anak , perancangan keluarga, dan penjagaan alam sekitar.

Penduduk di negara kita berbangga kerana mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik jika dibandingkan dengan sesetengah negara di dunia. Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk kesihatan bagi membina hospital dan klinik di seluruh negara dengan bilangan doktor yang mencukupi. Rakyat tidak perlu berasa bimbang kerana terdapat banyak kemudahan perubatan dibandar mahupun di kawasan luar Bandar.

Kesimpulannya , kesihatan yang baik bagi setiap individu adalah penting bagi menjamin dan memastikan negara terus maju dan berkembang.

No comments:

Post a Comment